Surah Al-Mu'minun : Ayat 99 - 100

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalilah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Thursday, August 19, 2010

Kahwin paksa dalam kem


RABAT (Hassan al-Ashraf) – Al Arabiya
8 Ogos, 2010
Aktivis hak rakyat Morocco membidas kempen kahwin paksa yang ditaja oleh Pembela Polisario Barat Sahara di kem pelarian Tindouf, berhampiran sempadan Algeria.

Lebih 1200 lelaki dan perempuan bawah umur dinikahkan tanpa kerelaan oleh pemimpin-pemimpin Polisario iaitu satu gerakan untuk memerdekakan Sahara Barat dari Morocco. Upacara pernikahan tersebut telah berlangsung di Tindouf, iaitu markas pergerakan itu yang terletak di barat Algeria.

Pihak berkuasa Polisario telah menyediakan khemah-khemah lengkap untuk semua pengantin dan mereka dijanjikan penyediaan makanan setiap dua minggu serta bantuan kewangan.



Menurut analisa dari Morocco, para pemimpin pemberontak berbuat demikian bagi menggantikan ratusan ahli kumpulan yang telah keluar dari kem dan kembali Morocco dan juga bagi memastikan generasi muda dapat meneruskan gerakan kemerdekaan.
Ramai ahli gerakan yang telah kembali ke Morocco berikutan kesusahan yang mereka hadapi di kem berbanding dengan keselesaan dan keadaan ekonomi yang lebih terjamin di Morocco.

Aktivis Naba al-Moussawi, yang baru pulang dari kem Tindouf , berkata hak perempuan Sahrawi telah dicabuli oleh kepimpinan polisario melalui perkahwinan ini.

“Gadis-gadis yang masih mentah dipujuk untuk berkahwin bagi memelihara kesucian mereka,” katanya kepada Al Arabiya. “Ini jelas bertentangan dengan hak-hak wanita dan semua undang-undang dan perjanjian.”

Seorang yang terselamat, yang tidak ingin dikenali, berkata dia dapat mengelak dari perkahwinan paksa itu setelah melarikan diri dari kem.

“Mereka memaksa gadis-gadis seawal usia 13 tahun berkahwin bagi mendapatkan zuriat untuk meneruskan perjuangan kumpulan berkenaan,” katanya kepada Al Arabiya.

Kesilapan Besar

Dr. Khaled al-Samouni, ketua Pusat Hak Asasi Morocco, berkata polisi perkahwinan paksa yang diamalkan dalam Polisario adalah satu kesilapan besar.

“Ini adalah kebodohan politik dan sosial,” katanya kepada Al Arabiya. “Mereka menjadikan kehidupan dalam kem lebih payah dan akan menambahkan lagi ketegangan di kalangan masyarakat Sahrawi.”

Samouni mempertikai perkahwinan seperti itu yang baginya berkemungkinan besar tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Syarak .

“Perkahwinan itu tidak berasaskan persetujuan sementara usia mereka pula belum lagi mencapai had yang dibenarkan berkahwin.”

Perkahwinan itu tidak sah, tambahnya lagi, kerana ia dilakukan atas tujuan politik dan, justeru itu, ia mencabul matlamat utama perkahwinan iaitu untuk menyatukan keluarga dan menstabilkan kehidupan sosial.

“Saya menjangkakan mereka akan mengharamkan perceraian bagi memastikan matlamat mempunyai zuriat yang ramai tercapai.”

Mohamed al-Taleb, setiausaha am Kesatuan Pembela Hak Asasi Sahrawi, berkata bahawa pihak berkuasa Polisario bukan sahaja mensasarkan gadis muda yang belum berkahwin, malah janda-janda juga dipaksa untuk berkahwin.

“Mereka juga melarang penggunaan bahan perancang keluarga kepada semua pasangan,” katanya kepada Al Arabiya.

Beberapa laman web Morocco menyokong desas-desus mengatakan badan perisikan tentera Algeria terbabit dalam perancangan tersusun memaksa golongan muda di kem Tindouf berkahwin sehingga tahun 2011 bagi menghalang kemungkinan mereka kembali ke Morocco.
Aktivis hak asasi Morocco menyeru semua pertubuhan hak asasi dan masyarakat antarabangsa untuk campurtangan dan mengenakan tekanan ke atas Algeria dan Polisario bagi menghentikan kempen perkahwinan paksa ini dan sekaligus mengelak dari memburukkan lagi suasana di Sahara Barat.

Sumber : beritaislamglobal.blogspot.com





No comments:

Post a Comment