Surah Al-Mu'minun : Ayat 99 - 100
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalilah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
Friday, October 1, 2010
Insiden kopi
Mohamed Abdel-Baky (Translated by beritaislamglobal.blogspot.com)
(English version here)
Kematian Gamal Abdel-Nasser (gambar) 40 tahun lalu masih dibincangkan di Mesir. Minggu lepas, dalam satu rancangan TV mingguan yang disiarkan oleh Al-Jazeera, penganalisis politik yang juga pemilik rancangan tersebut, Hassanein Heikal memperingati ulangtahun ke-40 kematian almarhum dengan bercakap tentang hari-hari terakhir beliau. Seperti tidak dapat dielakkan, dia menyebut tentang apa yang dipanggil "insiden kopi di Nile Hilton," yang berlaku semasa Nasser sedang mengadakan pertemuan (gambar) dengan pemimpin Palestin Yasser Arafat sebagai sebahagian dari usaha beliau menjadi orang tengah antara warga Palestin dan Jordan ketika krisis September Hitam*, tahun 1970.
Heikal berkata Nasser nampak "begitu marah" ketika bertengkar dengan Arafat, dan dalam suasana hangat tersebut, Anwar El-Sadat (gambar bawah), yang ketika itu menjadi naib-presiden, menawarkan diri untuk menyediakan kopi. Menurut Heikal, Sadat "mengarahkan chef presiden keluar dari dapur dan kemudian menyediakan kopi sendiri, yang diminum Nasser tiga hari sebelum meninggal".
Sekalipun Heikal (gambar bawah) begitu berhati-hati apabila menyebut "perbincangan tentang penglibatan Sadat tidak boleh diterima, tiada siapa yang percaya Sadat akan bertindak seperti itu, atas sebab-sebab kemanusian dan emosi", kerosakan telahpun dilakukan. Penonton memang sentiasa bersedia untuk menelan semua teori konspirasi apabila dihidangkan—bahwa Sadat membunuh ketuanya.
Nasser meninggal pada 28 September 1970, ketika di penghujung rundingan Arab. Beberapa jam selepas bertemu Emir Sabah Salem El-Sabah (gambar bawah) dari Kuwait di lapangan terbang, Nasser diserang sakit jantung. Beliau dengan segera dibawa pulang ke rumahnya dan diisytiharkan mati sejurus selepas itu.
Anak sulung Sadat, Ruqqaya (gambar bawah), telah memfailkan komplen terhadap Heikal kepada peguam negara, dengan menuduhnya memfitnah bapanya.
"Apa yang Heikal lakukan telah melakukan kerosakan kepada saya dan keluarga dan melukakan perasaan kami dengan begitu mendalam," kata Ruqqaya.
Samir Sabry, peguam Ruqqaya, berkata bahawa Heikal mesti menjelaskan mengapa beliau menyebut tentang insiden kopi itu apabila mengaitkan dengan kematian Abdel-Nasser.
Ruqqaya telahpun memenangi kes terhadap Hoda Abdel-Nasser (gambar bawah), anak perempuan presiden Nasser, selepas dia menyebut tentang insiden kopi itu dan menuduh Sadat membunuh bapanya. Hoda diarah membayar denda kerosakan sebanyak LE150,000.
Abdel-Hakim Abdel-Nasser, anak lelaki Gamal Abdel-Nasser, memberitahu akhbar al-Dostour Isnin lepas, bahawa dia memang tahu tentang insiden tersebut tetapi tiada bukti yang mengaitkan Sadat terlibat membunuh bapanya.
“Ayah saya adalah sasaran CIA dan Mossad. Ramai yang hadir semasa pertemuan di Nile Hilton itu. Sekalipun awak mengandaikan ayah saya telah diracun, mustahil untuk menuding jari kepada siapa yang terlibat.”
Beliau menambah pada hari-hari terakhirnya, Nasser dibebani dengan tekanan yang terlampau yang mungkin menjadi punca kepada serangan jantungnya.
Doktor Nasser, Al-Sawy Habib, yang berdiam diri selama 40 tahun akhirnya menafikan yang Nasser dibunuh.
Dalam satu artikel dalam Al-Ahram dia menulis tentang Nasser yang mengalami masalah myocardial infraction (gangguan bekalan darah ke jantung), hypercholesterolemia (kandungan kolesterol tinggi) dan tekanan darah tinggi.
Al-Sawy juga menekankan yang ramai ahli keluarga Nasser, termasuk ibu, abang, kakak dan pakciknya, meninggal dalam usia 50an.
Published in Egypt’s AL AHRAM WEEKLY in its Sept. 23-29 issue.
*Pertubuhan September Hitam adalah kumpulan sekular militan Palestin, diasaskan pada 1970 untuk menentang pendudukan Israel di bumi Palestin. Mereka bertanggungjawab menahan dan membunuh sebelas orang atlit dan pegawai, dan menembak mati seorang polis Jerman Barat, semasa acara sukan Olimpik 1972 di Munich.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment